BACHOK 19 April 2025 I Seramai 400 peserta meriahkan larian Cat Walk Fun Run 2025 anjuran Makmal Pengajar Haiwan Kesayangan (CATEL) dengan kerjasama Pelajar Tahun 3 DVT33203 Keusahawanan Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di Anjung Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok hari ini.
Acara yang bermula seawal 7.00 pagi dimulakan dengan aktiviti senam robik telah berjaya mendapat sambutan ramai di kalangan pecinta kucing, pelajar-pelajar sekolah termasuk pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Acara terbahagi kepada dua kategori, kategori larian sejauh 5 kilometer dan kategori larian 1kilometer bersama kucing.
Seperti edisi pertama, Larian 1KM Bersama Kucing berjaya menarik perhatian ramai serta penuh dengan kejutan apabila peserta dapat menyaksikan kucing-kucing kesayangan tampil bergaya mengenakan pelbagai kostum dan dihias dengan pelbagai rekaan hasil kreativiti pemilik kucing.
Menurut Dekan FPV, Prof. Madya Dr. Mohd Farhan Hanif Reduan, program ini diadakan bagi memenuhi tujuan sebagai inkubator untuk pelajar FPV menimba ilmu mengenai keusahawanan dan perniagaan terutama untuk menimba pengalaman dalam aktiviti yang melibatkan kucing.
Beliau berkata, paling istimewa pada acara ini ialah acara larian 5KM berjaya menarik hampir 400 peserta manakala bagi kategori 1Km larian bersama kucing peliharaan berjaya menarik penyertaan seramai 40 peserta.
“Acara ini agak unik kerana masing-masing menyaksikan peserta menggunakan kreativiti kepada kucing meraka yang terdiri dari baka tempatan, parsi dan domestik itu untuk bersama-sama peserta berlari sejauh satu kilometer itu.
“Selain itu, turut berlangsung pertandingan mewarna (bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah) dan turut disediakan sepanjang program berlangsung ialah Gerai Jualan Barangan Kucing dan Perkhidmatan Ubat Kutu Kucing,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Farhan, pihak FPV melihat melalui penyertaan dan penglibatan peserta yang menyertai larian itu akan membantu memperkasa hubungan antara para pelajar, masyarakat setempat dan juga pemilik haiwan kesayangan di Kelantan.
“Selain iu, program seperti ini dapat menyemarakkan lagi sambutan terhadap program kesedaran haiwan yang dianjurkan,” katanya.
