UMK Bachok 28 Januari 2026 I Pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) teruja apabila dapat merasai sendiri pengalaman unik seni kulinari, sejarah, budaya dan tradisi negara matahari terbit sepanjang dua hari berlangsungnya Japanese Cultural Festival (JCF) yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Kelantan.

Program kerjasama dengan The Japanese Foundation Kuala Lumpur (JFKL) itu telah mendapat sambutan luarbiasa dari pelajar, pensyarah dan warga UMK yang berlangsung di Auditorium Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK dan Laman Puteri Saadong, bermula 28 hingga 29 Januari 2026.
Pengarah Program JCF 2026, Dr. Haris Abadi Abdul Rahim berkata, program ini adalah selari dengan aspirasi UMK dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan, pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) serta pemerkasaan elemen budaya dan kreativiti merentas disiplin, khususnya dalam bidang seni, reka bentuk dan warisan yang menjadi teras FTKW.

Beliau menyifatkan JCF 2026 bukan sahaja berfungsi sebagai platform pendedahan budaya, malah menjadi medium strategik dalam menyokong pembangunan sahsiah pelajar, pengukuhan hubungan antarabangsa serta pemerkasaan peranan fakulti dalam menjayakan agenda universiti di peringkat global.
“Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memperkenalkan seni, budaya dan kreativiti Jepun iaitu pameran lukisan Ukiyo-e yang mempamerkan seni cetakan kayu tradisional Jepun yang terkenal dengan gaya visual unik serta nilai sejarah yang tinggi.

Katanya, pengunjung juga berpeluang mengenali perkembangan seni visual Jepun serta pengaruhnya terhadap seni moden.
“Turut menarik perhatian ramai ialah permainan tradisional Jepun dan pameran layang-layang Jepun.
“Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba permainan tradisional kanak-kanak seperti kendama yang bukan sahaja menghiburkan, malah membantu pelajar memahami budaya Jepun secara santai dan menyeronokkan,” katanya pada majlis perasmian JCF 2026 yang disempurnakan oleh Pengarah JFKL, Mr. Tsukamoto Norihisa, di Laman Putri Saadong, FTKW, UMK Bachok.

Tambah Dr. Haris Abadi, elemen silang budaya ini memberi peluang kepada pelajar dan warga universiti untuk memahami budaya Jepun secara langsung melalui seni, reka bentuk dan amalan budaya.
“Pendedahan ini membantu membentuk pemikiran global (global mindset), toleransi budaya dan kefahaman antara bangsa dalam kalangan pelajar.
“Pelajar juga berpeluang menonton tayangan filem Bento Harassment arahan Pengarah Renpei Tsukamoto yang menggabungkan komedi Jepun dan drama keluarga untuk memperkenalkan karya sinematik Jepun serta membuka ruang perbincangan mengenai nilai budaya dan sosial masyarakat Jepun.

“Pelajar juga teruja apabila diberi peluang mencuba pemakaian yukata iaitu pakaian tradisional Jepun dengan bimbingan fasilitator.
Selain itu, beberapa peserta turut hadir dengan memakai kostum watak daripada anime popular Jepun, sekali gus menambahkan kemeriahan suasana festival,” katanya.
Turut berlangsung ialah Pertandingan Tenugui Design Contest 2026 bertemakan “Malaysia x Japan” yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada pelajar menzahirkan kreativiti dalam reka bentuk tekstil.

Dalam budaya Jepun, tenugui ialah sejenis tuala kecil yang mempunyai banyak fungsi termasuk menutup kepala, sebagai skaf dan sebagainya.
Hadiah berupa wang tunai untuk johan hingga tempat ketiga adalah sumbangan dari JFKL.
Pada karnival itu, pelajar juga berpeluang menyertai bengkel dan seni origami, kendama dan iaitu seni lipatan kertas origami yang popular di Jepun.
Peserta diberi peluang mempelajari teknik asas dan mencuba sendiri aktiviti tersebut di bawah bimbingan fasilitator yang membimbing peserta secara praktikal, santai dan kreatif.


















