Berita Terkini

MENTERI PENDIDIKAN TINGGI RASMI INKUBATOR KEUSAHAWANAN, PUSAT KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN UMK DAN HOSPITAL PENGAJAR PFV

BACHOK, 26 Julai 2023 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil insiatif menubuhkan Pusat Inkubator Keusahawanan dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan UMK sebagai inisiatif strategik UMK untuk menyokong aktiviti keusahawanan dan menjana pendapatan kepada universiti.

Majlis perasmian pameran Keusahawanan Universiti dan Pusat Penyelidikan serta perasmian Hospital Pengajar Fakulti Perubatan Veterinar telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan menandatangani plaque sebagai simbolik perasmian penubuhan Inkubator Keusahawanan dan Pusat Penyelidikan UMK, di UMK Bachok, Kelantan, hari ini.

230823-02-02.jpg

Terdahulu dalam rangka lawatan kerja ini, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut diberi taklimat mengenai hala tuju dan kemajuan semasa UMK sebagai salah sebuah universiti awam di negara ini, di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori, UMK Bachok.

YB Menteri turut dibawa melawat ke Pameran Keusahawanan Universiti dan Pusat Penyelidikan UMK serta Galeri UMK yang mempamerkan hasil karya para pelajar program Teknologi Kreatif dan Elektif Seni Halus, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Ahli Lembaga Pengarah UMK,  Datuk Hj. Zaluzi Bin Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mohd Zabri Bin Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Norzaini Binti Azman dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak.

230823-02-03.jpg

 

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli berkata, penubuhan pusat kecemerlangan penyelidikan dan inkubator keusahawanan UMK adalah inisitiaf baharu yang meliputi semua bidang, iaitu dari sains dan teknologi, sains sosial dan juga kemanusiaan dan kesenian serta kerjasama strategik.

Katanya, insiatif ini  bertepatan dengan Strategic Innovation Project UMK untuk penjanaan pendapatan kepada universiti.

Beliau berkata, antaranya ialah penubuhan Pusat Teknokeusahawanan Emas, Nadir Bumi dan Bahan (GREAT) merupakan sebuah pusat perkhidmatan bagi menjalankan analisis emas dan logam bumi yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat di bawah kerajaan negeri Kelantan seperti PMBK Azhab Sdn. Bhd., yang berfungsi menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahan mineral, emas dan sebagainya di negeri Kelantan.

“GREAT UMK dapat membantu industri emas, logam dan mineral sebagai pusat jualan emas bagi aktiviti keusahawanan/pengkomersilan serta sebagai one stop centre bagi verifikasi kualiti emas di Malaysia.

 

230823-02-04.jpg

 

“Secara tidak langsung menerusi aktiviti yang dijalankan oleh GREAT mampu menjana pendapatan kepada negara dan universiti,” katanya.

Dalam usaha melestarikan alam sekitar dan pemuliharaan hutan, UMK mengambil inisiatif dengan menubuhkan UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK TRACE), iaitu hasil kerjasama  UMK dan  Yayasan Pulau Banding, Kumpulan EMKAY untuk menggalakkan kajian dan keterlibatan menyeluruh dalam pengurusan Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor.

Prof. Dato’ Dr. Razli berkata, kerjasama Yayasan Pulau Banding (PBF) dan Belum Rainforest Management Sdn Bhd (BRM) itu membolehkan kawasan Pulau Banding dijadikan sebagai pusat kajian hutan hujan tropika.

Selain itu, UMK TRACE berada lokasi strategik institut berkenaan di gerbang pintu masuk Taman Negeri DiRaja Belum yang telah dicalonkan sebagai UNESCO World Heritage Site.

230823-02-06.jpg

Terbaharu, pihak UMK melalui UMK TRACE telah bekerjasama dengan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) untuk kerjasama menjalankan projek penyelidikan bertajuk “Securing The Resiliency and Sustainability of Royal Belum Forest Against The Impact of Climate Change” di bawah dana European Commission yang bernilai 1,000,000 juta Euro untuk tempoh lima tahun.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Razli, UMK juga mengambil insiatif mewujudkan institusi Angkasa UMK Research Academy atau AURA, yang dilihat mampu menjadi pusat rujukan dalam bidang program keusahawanan koperasi melalui kerjasama pintar dengan ANGKASA.

Katanya, AURA kini berkerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan antaranya melibatkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan  Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“AURA turut berkerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan antaranya melibatkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan  Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

 “Pusat kecemerlangan AURA telah berjaya memperoleh geran PENJANA KPT PACE 2022 bagi pensijilan Profesional Koperasi (ANGKASA) dan  program keusahawanan, dilantik sebagai perunding untuk Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi Malaysia.

230823-02-07.jpg

 “AURA juga bekerjasama dengan ANGKASA bagi penempatan pelajar latihan industri di 46 buah koperasi yang terpilih sekaligus mereka akan diserapkan dalam koperasi berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan.

Dalam pada itu, pihak universiti  juga mewujudkan Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan (PEMIKIR) di bawah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI) yang bermatlamat sebagai satu entiti berfokus mendokong pengembangan ilmu di fakulti dalam bidang berkaitan keamanan dan kesejahteraan insan melalui; penyelidikan, penerbitan, persidangan/wacana ilmiah, perundingan dan pasca siswazah.

PEMIKIR memainkan peranan melalui pendekatan akademik dalam mentransformasikan pemikiran masyarakat berkaitan isu nilai dan pembangunan insan.

Katanya, dibawah FBI juga terdapat Pusat Terjemahan Dan Manuskrip UMK-ITBM (UMK-ITBM TERJEMAH) yang berfungsi sebagai hab terjemahan dan kajian manuskrip di Pantai Timur yang berpangkalan di UMK.

230823-02-08.jpg

Katanya, ini sebagai inisiatif strategik co-branding with industry iaitu  Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) membuka Hab terjemahan di UMK.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada masyarakat di Pantai Timur untuk mendapatkan perkhidmatan ITBM dengan lebih dekat dan cepat tanpa perlu hadir ke ibu pejabat ITBM di Kuala Lumpur. Pusat ini juga memberi penekanan kepada kajian manuskrip khususnya manuskrip Arab dan Jawi,” katanya.

Tambah beliau, dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan UMK juga mengambil inisiatif menubuhkan Ignite Venture Lab (IVL) dalam misi melahirkan usahawan berteraskan inovasi pada masa depan.

Makmal inovasi itu bertujuan menyediakan ruang inovatif, fasiliti dan latihan bagi melancarkan permulaan syarikat oleh pelajar atau usahawan dalam pelbagai industri, termasuk keusahawanan sosial, pertanian dan teknologi pengguna.

Katanya, penubuhan IVL sebagai pemacu utama untuk menanamkan pemikiran inovatif dalam minda usahawan syarikat pemula di UMK dengan menitikberatkan kepentingan atribut inovasi dalam produk keluaran syarikat pemula UMK.

230823-02-09.jpg

“IVL juga menggalakkan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), akademik serta agensi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengkomersialkan inovasi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, penubuhan Hospital Pengajar Perubatan Veterinar (HPVUMK) ini berfungsi penuh sebagai hospital pengajar dan pembelajaran untuk  Program Doktor Perubatan Veterinar UMK termasuk menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pemilik haiwan, pemain industri, pemegang taruh serta komuniti setempat.

HPVUMK merupakan Hospital Pengajar Perubatan Veterinar ke-2 di Malaysia selepas Universiti Putra Malaysia.

Prof. Dato’ Dr. Razli berkata, hospital ini mula beroperasi pada 3 Ogos 2020 di UMK Bachok selepas dinaiktaraf kepada Hospital Pengajar pada tahun 2022.

“Kemudahan HPVUMK menawarkan  perkhidmatan rutin penjagaan kesihatan perubatan, pelalian haiwan dan pembedahan untuk haiwan kesayangan, haiwan ternakan, haiwan peliharaan, eksotik, kuda, dan lain-lain.

“Selain itu, HPVUMK turut menawarkan perkhidmatan lain seperti vaksinasi, pencegahan (cacing dan parasit), penilaian semua masalah perubatan, pembedahan rutin, termasuk pengkasian haiwan, pergigian veterinar, pembiakbakaan, nasihat, serta khidmat spesifik mengikut spesis haiwan,” katanya.

 

230823-02-01.jpg

 

 

 

Web Traffic

2.png8.png6.png3.png5.png5.png
Today267
Yesterday316
This week267
This month8203
Total286355

Who Is Online

1
Online

2024-04-29

Search